KASIH BERTAUT DI DESA KANH JONG

Sarat dengan benih kasih
Kepulangan kumpulan Kembara Ustaz Zubir Zakaria ke IPGKTB  selepas Cuti tahun Baru Cina 2011 adalah kepulangan yang sarat dengan benih kasih untuk disemai dan dibajai di Kampus Tuanku Bainun ini. Kembara berkereta menjenguk Muslim Cambodia pulang  bersama kisah yang merujakan. Sekembalinya mereka ke kampus,  berjaya membangkit simpati, mampu melahirkan kasih dan membangunkan semangat ukhwah di bumi jauh beribu-ribu batu. Walau  sesiapa pun belum dikenali lagi di bumi Kanh Jong, walau seraut wajah insan Khn Jong pun belum ditatap,  walau tiada tangan sesiapa di sana yang pernah disentuhi dan disantuni, namun insan-insan di Khn Jong telah masuk menyerap di hati warga IPGKTB ketika itu. Juga meresap masuk ke hati sanubari Pengarah IPGKTB ketika itu, Puan Hajah Tumerah binti Rosmin.

Di hujung tahun 2011, sekali lagi Ustaz Rizal dan rakan-rakan kembaranya menelusuri Tanah Siam hingga Cambodia, kembara bermotosikal yang menjadi hobi mereka, berjaya singgah lagi di bumi Kanh Jong. Niat utamanya selain daripada melempiaskan ketagihan kembara lasaknya, dia perlu menyelesaikan urusan wakaf tanah yang dibeli keluarganya itu. Beberapa urusan berkaitan perlu disempurnakan. Tidak lain pejabat penting yang dipanjat adalah Pejabat Jabatan Mufti Cambodia. Itulah  titik permulaan satu-satunya susuk tubuh yang banyak berjasa, menjadi penghubung Kanh Jong – IPGKTB hingga kini iaitu Ustaz Asnawi Bin Mat Isa dikenali. Seorang lulusan agama dari Mesir, berurusan selalu di pejabat mufti dan anak kelahiran bumi Kanh Jong, tetapi kini bermustautin di Chrouk Remeat, kampung halaman isterinya. Dialah penyambung benih-benih kasih yang ada di Kampus Tuanku Bainun dengan anak-anak kariah bumi Kanh Jong, Chhnang, Combodia itu. Pasti pertemuan kali ini akan memanjangkan lagi silaturrahim warga IPGKTB dan anak-anak kariah bumi Kanh Jong. Pasti perjumpaan itu akan diikuti dengan siri-siriwalaupun jauh. Sudah tampak ketika itu ia menjadi semakin dekat dan semakin hampir. Kasih tidak bertepuk sebelah tangan. Ustaz Asnawi juga berjaya membawa banyak tangan dari bumi Kanh Jong turut bertepuk, menandakan kasih berbalas. Perjumpaan dan pertemuan selanjutnya. Sama-sama merancang dan sama-sama mengimpikan mekarnya benih kasih itu akan berkembang menguntum. Membawa aroma wanginya dari Kampus Tuanku Bainun ke bumi Kanh Jong.

Kanh Jong, kami datang
Tanggal 7 hingga 13 Jun 2012 melakar sejarah, apabila Jabatan Pendidikan Islam & Moral IPG Kampus Tuanku Bainun yang diketuai oleh Ustaz Haji Mohd Hafizan Bin Abd.Halim berjaya merancang dan merealisasikan lawatan pertama warga IPGKTB ke Kampong Khn Jong. Lawatan yang membawa benih kasih untuk dicambahkan di bumi Khn Jong. Rombongan yang disertai seramai 31 orang yang terdiri daripada Puan Hajah Tumerah Binti Rosmin, Pengarah IPGKTB ketika itu ditemani suaminya, diikuti seramai 10 orang pensyarah dan 20 orang orang guru pelatih. Lawatan yang menggunakan perbelanjaan sendiri segala-galanya kecuali pengankutan pergi dan balik ke lapangan terbang. Lawatan yang dinamakan sebagai Kembara Dakwah Ilmu. Lawatan yang bukan sahaja  membawa pensyarah-pensyarah JAPIM bahkan pensyarah-pensyarah jabatan lain.  Beberapa jabatan telah menghantar wakil, umpamanya Jabatan Pengajian Melayu diwakili Hj.Zaki, Jabatan Matematik diwakili DR Hj.Abdul Razak dan Jabatan Ilmu Pendidikan telah menghantar dua orang wakil iaitu En.Zarani dan Hj.Shaari termasuk En.Hairi yang kini telah berpindah ke Ipoh. Dalam lawatan ini guru-guru pelatih seramai 20 orang telah dibahagikan sebagai anak-anak angkat penduduk kariah Kampong Kanh Jong. Mereka terdiri daripada 10 orang guru pelatih perempuan dan 10 orang guru pelatih lelaki. Mereka dibawa tinggal bersama keluarga angkat masing-masing selama dua hari dua malam. Guru-guru pelatih IPGKTB telah mengadakan kem solat termasuk prakital wuduk. Anak-anak Kampong Kanh Jong juga seakan menghadiri kem motivasi dan program pembangunan rohani apabila seharian mereka berada di masjid dan perkarangan masjid mereka mengikuti aktiviti yang disusun.
  
Sepanjang berada di bumi Kanh Jong mereka makan secara jama’i, mereka masak bersama-sama di masjid dan makan bersama-sama. Dalam lawatan ini juga turut diadakan sembelihan akikah sumbangan kalangan warga IPGKTB yang telah disempurnakan oleh Ustaz Abd.Kadir , Imam Masjid Kampong Kanh Jong.

Tika inilah para guru pelatih yang terdiri daripada pelbagai latar belakang yang tidak pernah merasai penghidupan susah seperti itu, cuba belajar menyelami dan menghayati ujian Tuhan kepada keluarga angkat mereka itu. Belajar erti sabar dan menghayati ketenangan dalam kesempitan yang dihadapi. Menekuni rasa cukup dengan apa yang ada dan tabah mengharungi kepayahan hidup yang ditentukan kepada mereka. Itulah peluang untuk para guru pelatih membuat persediaan untuk ditempatkan mengajar di mana-mana nanti dan menghadapi suasana yang belum diketahui susah senangnya. 
Demikian Islam telah mengikat hubungan insan-insan yang berlainan bahasa dan jarak geografinya dengan ikatan akidah. Walaupun ramai kalangan penduduk Kanh Jong tidak tahu langsung berbahasa Melayu atau Inggeris, namun, komunikasi masih dapat diteruskan dengan bahasa isyarat dan naluri hati insani. Di sini juga guru-guru pelatih belajar menjadi guru, mengajar anak-anak Kanh Jong membaca quran dan solat di samping Bahasa Inggeris.

Visi Ummatik
Kembara Dakwah Ilmu dianjurkan bukan sahaja disertai oleh 31 orang anggota rombongan itu sahaja bahkan yang tidak datang dengan batang tubuhnya tetapi jiwa mereka hadir bersama wang ringgit dan sumbangan yang disertakan. Tanda kenangan kasih bersemi, anggota rombongan telah menyempurnakan hajat rakan-rakan yang tidak bersama. Mereka telah menyerahkan pakaian baru dan lama kepada penduduk Khn Jong yang memerlukan. Bukan sahaja anak-anak malah untuk ibu mahupun ayah.

Walaupun aku masih belum wujud dalam kumpulan warga IPGKTB ini ketika itu, namun dari cerita yang disampaikan ini, aku dapat menjiwai dan merasai nilai kasih sayang saudara seagama bahkan sebangsa, begitulah hubungan yang terjalin hingga kini yang aku saksikan sendiri. Saling memberi khidmat.

Ustaz Hj.Harun Bin Haya, anak kelahiran Sik, Kedah. Lulusan Akademik Pengajian Islam Universiti Malaya, kutahu hadirnya bukan sekadar atas nama Ketua Jabatan JAPIM yang disandangnya ketika itu, namun, di benak mindanya, dia ingin melihat ruang amal dan budi yang boleh ditabur lagi di bumi Kanh Jong. Itulah yang ada di hati dan mindanya. Dikongsi hasratnya bersama DR Hj.Abd.Razak, juga seorang yang tidak pernah lokek dengan ilmu dan sumbangannya. Mereka ingin membina sebuah lagi bangunan di sisi bangunan yang sedia ada. Paling kurang sepadan dengan bangunan yang sedia ada. Dengan itu hadir mereka bersama rombongan ini adalah untuk menemui pihak yang boleh membantu mereka, tidak lain dan tidak bukan iaitu Jabatan Mufti Cambodia. Pejabat Mufti Cambodia telah menerima kunjungan 31 orang delegasi dari Kampus Tuanku Bainun dengan penuh mesra. Disambut dengan rasa mahabbah saudara seakidah. Disampaikannya beberapa info dalam sesi taklimat ringkas di sebuah dewan kecil berhubung dengan peranan Jabatan Mufti Cambodia. Pejabat Mufti Cambodia seterusnya mempelawa sebarang sumbangan disalurkan melalui mereka untuk disampaikan kepada umat Islam Cambodia seluruhnya.
Kata Ustaz Hafizan, “kami sekadar mendengar taklimat dan mencari ruang menyalur kebajikan dan sumbangan jika difikirkan sesuai melalui badan agama itu”. Semuanya akan digarap dan disimpulkan untuk dibawa balik ke Kampus Tuanku Bainun dalam mencambahkan terus benih-benih kasih warga IPGKTB dengan anak-anak  kariah Khn Jong.
Umat Cambodia tidak meminta, kerana itu mungkin hina bagi mereka. Tetapi Allah menghantar insan-insan berhati luhur, peka dan berwawasan dalam pembangunan pendidikan anak-anak saudara seagama. “Kita mesti buat sesuatu DR”, Ustaz Harun mengingatkan DR Hj. Abdul Razak. “DR kena jadi kepala”, Ustaz Harun menambah cadangan dalam sembangnya. DR Razak tidak terkata apa, tiada lain melainkan mengiyakan sahaja.”Perkara baik ustaz, kita kena sama-sama buat, kita gerakkan seluruh warga Kampus Tuanku Bainun”. DR Razak memberi kata-kata semangat kepada Ustaz Harun dan rakan-rakan sembangnya dalam perjalanan santai ke Siem Riep sambil kemudiannya membeli belah di Pasar Besar Phnom Pehn untuk membawa balik ole-ole buat keluarga dan teman-teman.  





Comments

Popular posts from this blog

KISAH PANJANG DI DESA KANH JONG

LINO HEALTH