KISAH PANJANG DI DESA KANH JONG
PEMBUKA KISAH
MENJENGUK MUSLIM CAMBODIA 2010
BAB 1
KAMPONG KANH JONG
Muslim Cambodia
Kampong Kanh Jong dijejaki
Alhamdulillah Setinggi kesyukuran. Inilah antara anugerah besar yang kuperolehi setelah lama mengidamkannya. Di usia yang menjengah masuk separuh abad ini dapat kuhasilkan satu tulisan yang diterbitkan seumpama ini. Syukur setinggi-tingginya ke hadrat Ilahi.
Pengkisahanku ini bukan ceritaku. Cuma aku menjadi pengkisah, merakamkan watak insan-insan lain. Walaupun ada, kisahku tidak seberapa. Oleh itu akan tiadalah pengkisahan ini jika tiada kerjasama para pendokong wataknya. Justeru, setinggi-tinggi penghargaan kuucap dan kurakamkan kepada Ustaz Zubir Bin Zakaria, mengizinkan aku memetik sedikit catatan dari blogspotnya. Juga Ustaz Rizal Bin Ariffin dan Ustaz Mohd Hafizan Bin Abd.Halim yang sudi menjawab soalan interviewku. Pengkisahan ini juga tidak akan sempurna tanpa cerita-cerita dari lisan Ustaz Hj.Harun Bin Haya dan DR Hj.Abd.Razak Bin Othman, termasuk sumbangan gambar-gambar dalam koleksinya. Juga, rakan-rakan yang bersama sudi mencatat refleksi yang aku muatkan dalam bukuku ini. Pendorong utama penghasilan tulisan seumpama ini tiada lain, melainkan DR Sazali Bin Yusof, Pengarah IPG Kampus Tuanku Bainun tempat aku berkhidmat, yang sering dan amat serius menggalakkan semua pensyarah belajar menghasilkan suatu penulisan yang boleh diterbitkan. Di samping itu, beliau juga berhasrat supaya kisah di Khn Jong didokumentasikan sebaiknya.
Aku mengambil inisiatif melalui tulisan seumpama ini, dalam bentuk dan rupa sebuah travelog untuk aku rakamkan segala apa yang disebut sebagai satu bentuk dokumentasi bermakna. Bukan sahaja untuk disimpan bahkan dibaca, dihayati dan dijadikan suri teladan tentang kerja bervisi ummah. Usaha dan kerja yang tiada pulangan untung kepada diri dan organisasi, melainkan diserah kepada empunya hak membalas dan mengganjarkannya, Tuhan Rabul ‘alamin.
Usaha dan kerja bervisi ummatik, yang dicanang dan ditarbiyah susuk tubuh bernama Hj.Ahmad Azam sejak zaman sekolahku, menjadi azimat terpasak di hati, sejajar dengan usaha murni Badan Pendidikan Islam Cambodia-IPGKTB yang kudokongi ini.. Moga segalanya diberkati.
ISMAIL BIN SALLEH
November 2016
BAB 1
KAMPONG KANH JONG
Tidak kelihatan pun di simpang masuk atau di mana-mana, adanya papan tanda tentang nama kampung ini. Yang aku kenal tentang Khn Jong apabila aku sampai di hadapan masjidnya yang berbetulan di sebelahnya ada sebuah kedai runcit bersekali dengan gerai makan. Itulah tanda yang aku hafal sejak menjadi pegunjung setia Kampong Khn Jong. Nama kampung ini disebut Khechung yang aku mula kenali setelah membaca laporan siri lawatan warga IPGKTB yang ada pada DR Razak. Jarak kampung ini dari Lapangan Terbang Antarabangsa Phom Penh kira-kira dua jam perjalanan dengan kereta Herrier yang dipandu Hassan melalui jalan yang agak becak dan adakalanya berbatu. Ditanya tentang kilometer, aku juga tidak pasti. Diteliti google map juga, nama kampung ini tidak muncul, barangkali kampung ini berada dalam gugusan Kampong Chnnang yang nyata wujud dalam petanya.
Perjalanan dari Kampong Khn Jong ke pekan besar Wilayah Kampong Chnnang ini mengambil masa kira-kira 40 minit dengan berkereta. Demikianlah letak duduk Kampong Khn Jong. Ketika ingin memulakan pengkisahan ini bahkan sejak mula menyertai visi ini lagi, sudah terlintas dibenakku akan persoalan bagaimana warga IPGKTB menemui kampung ini. Siapa yang menemuinya dan
mengapa kampung ini menjadi destinasi warga Kampus Tuanku Bainun yang bersiri-siri ini.
Kembara Berkereta Merentasi Dua Negara
Aku sendiri tidak pernah kenal Ustaz Zubir, namun bila bercerita tentang Cambodia, nama itu meniti di bibir-bibir Ustaz Rizal dan Ustaz Hafizan yang menjadi anggota kembara berkereta Menjenguk Muslim Cambodia 2010 dan 2011 dari Pulau Pinang. Rupa-rupanya Ustaz Zubir telah berpindah ke IPG Kampus Darul Aman. Aku bertuah kerana selain daripada interview aku dengan Ustaz Rizal dan Ustaz Hafizan, Ustaz Zubir dalam blognya telah menceritakan kembara itu dengan agak detail untuk aku persembahkan dalam tulisanku ini. Misi utama kembara mereka ialah menjenguk saudara seagama di Cambodia di samping untuk menunaikan hajat keluarga Ustaz Rizal yang ingin membeli tanah dan mewakafkannya di bumi Cambodia ini untuk misi dakwah ummah.
Selepas Ustaz Zubir dan Ustaz Rizal berjaya dalam misi kembara berkereta ke Cambodia pada 24 Disember 2010, mereka lalu sekali lagi menggerakkan misi kembara berkereta kedua iaitu pada 3 Februari 2011, dengan disertai bersama Ust. Abd. Rahim, Ustaz Hafizan bersama pasangan ibu ayahnya , En.Zarani dan En. Taufik, seorang kenalan Ustaz Rizal iaitu dengan menggunakan dua buah kereta. Ustaz Zubir dan rakan-rakan menggunakan kereta Pejero kepunyaan Ustaz Rizal manakala Ustaz Hafizan dengan kereta Proton Wira Aeroback. Bermula dari Dannok, wilayah Thailand paling selatan dengan sempadan Malaysia- Thailand pada jam 9.45 pagi, mereka memulakan perjalanan. Kira-kira 12 jam perjalanan iaitu pada pukul 10.00 malam mereka tiba di Bangkok. Menghilangkan letih lelah berehat seketika dan seawal jam 3.00 pagi mereka telah mula bergerak menyambung perjalanan hingga tiba di sempadan Thailand – Cambodia iaitu di Aryanpratphet kira-kira jam 10.00 pagi. Dua jam kemudian, setelah selesai urusan imigresen dan kastam, mereka memulakan perjalanan menuju ke Phnom Pehn. Dalam kepekatan malam di perjalanan itu mereka singgah di sebuah masjid di Kampong Chrouk Remeat, mereka sempat menemui ahli jamaah masjid dan jawatankuasanya lalu diizinkan bermalam di situ.
Manakala pasangan ibu ayah Ustaz Hafizan dipelawa bermalam di rumah Pak Hassan, penduduk Chourk Remeat. Mereka dilayan bagai sewajarnya tetamu dilayan. Hal ini memberi makna misi mereka menjenguk saudara seagama di bumi Cambodia sebahagiannya telah termakbul. Mereka seakan sudah mendapat saudara baru dan keluarga baru. Dibawa bersarapan dan berjalan-jalan. Diperpanjangkan lagi silaturrahim, mereka dibawa menemui Ustaz Zakaria, kemudiannya Ustaz Sulaiman di samping berusaha mencari tanah yang dihajatkan oleh keluarga Ustaz Rizal untuk diwakafkan. Mereka juga dibawa meninjau Madrasah Al-Mukminah.
Pada hari ketiga Ustaz Zubir dan anggota kembaranya disantuni sebagai tetamu di bumi Cambodia iaitu di Chourk Remeat, mereka dibawa pula ke sebuah kampung dalam usaha mendapatkan sebidang tanah yang dihajati oleh keluarga Ustaz Rizal untuk dibeli dan diwakafkan. Tiba di sebuah kampung yang tidak begitu jauh dengan Chourk Remeat mereka berjaya membeli sebidang tanah. Sekariah dengan tanah itu, kemudiannya mereka menemui sebuah kampung yang disebut sebagai Kampong Khechung atau Khn Jong. Di kampung ini ada sebuah masjid dan di sebelahnya terdapat sebuah kedai kecil, menjual barangan runcit dan makanan serta minuman ringan. Di halaman masjid itu wujud sebuah bangunan seakan sebuah sekolah yang menempatkan tiga bilik darjah. Memang benar, bangunan itu dibina oleh penyumbang luar sebelum itu.
Muslim Cambodia
Muslim Cambodia adalah majoriti di Cham, mereka dipanggil Khmer Islam. Selebihnya adalah golongan miniroti Melayu Cambodia yang boleh dikatakan bertebaran di seluruh ceruk rantau bumi Cambodia. Pada tahun 2009, Pew Research Centre menganggarkan umat Islam Cambodia semuanya berjumlah sekitar 236,000 orang iaitu 1.6% daripada keselurahan rakyat Cambodia. Majoriti umat Islam Cambodia tinggal di kampung-kampung bahkan di persisir kaki gunung seperti yang terdapat di Spean 2 Village, Pursat Province. Di Cambodia telah diwujudkan Jabatan Mufti yang berperanan menjaga umat Islam di sana. Jumlah masjid yang asalnya pada tahun 1962 sebanyak 100 buah, tetapi sekarang ini tumbuh bagai cendawan di segenap kampung hasil sumbangan masyarakat Islam luar. Kebanyakan agamawan di Cambodia keluar dari negara mereka ke negara-negara jiran seperti ke Thailand dan Malaysia untuk menuntut ilmu. Di Thailand mereka menumpu ke pusat pengajian Islam seperti di Yala dan Pattani. Manakala di Malaysia mereka menumpu ke Kelantan dan Kedah di negeri yang banyak terdapatnya pusat pengajian pondok. Pun begitu ada yang melanjutkan pelajaran hingga ke timur tengah. Setelah tamat menuntut ilmu dari luar, mereka kembali ke tanah air menabur bakti dengan membuka madrasah untuk pengajian agama seperti Madrasah Al-Mukminah. Umpama
Ustaz Zakaria yang memberi sepenuh masanya untuk mendidik anak-anak di Madrasah Al-Mukminah. Walaupun terdapat seribu kekurangan, tetapi itulah kemampuan mereka. Ilmu agama mesti disampaikan buat anak-anak yang dahaga petunjuk Ilahi.
Umat Islam di Cambodia telah melalui satu sejarah pahit dalam penghidupan datuk nenek mereka apabila kehidupan mereka dihimpit kekejaman serta kezaliman Regim Khmer Rouge iaitu Parti Komunis yang memerintah Cambodia di antara tahun 1975 hingga 1979. Ustaz Zubir dan rakan-rakan kembaranya telah berpeluang melawat Choeung Ek yang terletak 17 km ke selatan Phnom Penh yang suatu masa dahulu merupakan salah satu tempat pembunuhan yang dilakukan oleh Regim Khmer Rouge yang sangat ganas dalam usaha melakukan penghapusan etnik yang mengorbankan lebih 3 juta nyawa. Sebahagiannya pembunuhan kejam itu dilakukan di Choeung Ek tanpa mengira usia dan jantina.
Ustaz Zubir dan rakan-rakan kembaranya mendapat khidmat pemandu pelancong percuma. Di Choeung Ek itu mereka berpeluang menyaksikan longgokan tengkorak manusia yang menjadi mangsa kezaliman Regim Khmer Rough termasuk pokok yang menjadi saksi pembunuhan kejam itu berlaku. Inilah sebahagian apa yang diceritakan Ustaz Zubir di dalam blognya.
Keadaan itu menjadikan masyarakat Khmer menghadapi trauma yang berpanjangan. Mereka menjadi miskin lantaran harta dan milikan mereka dirampas. Bahkan mereka dipaksa bekerja di ladang-ladang tanpa upah serta dikawal oleh tentera. Mereka hanya diberi makan bubur nasi yang dimasak sekawah dengan kadar 1 kilogram beras sahaja untuk dimakan beramai-ramai. Namun, apa yang sangat membanggakan, mereka dapat mempertahankan akidah mereka dalam beragama hingga generasi kini. Namun, mereka hingga kini belum boleh bangun mengubah nasib daripada himpitan kemiskinan dan kesusahan hidup.
Di Kampong Khn Jong umpamanya kita dapat lihat Islam hidup subur, khasnya masyarakat sekitar masjid kampung itu. Ramai daripada kalangan mereka menganggotai Jemaah Tabligh dan menjalankan usaha di kampung mereka selain sekali sekala mereka keluar menjalankan aktiviti tabligh di luar. Setiap hari selepas solat subuh mereka mengadakan mesyuarat harian. Pada waktu petang kita boleh lihat pasangan suami isteri membawa anak-anak kecil keluar mengambil angin dengan pakaian yang begitu Islamik, tidak kurang yang berniqab dan berpurdah. Amalan solat berjamaah hidup dalam kampung ini, setiap waktu jamaahnya tidak kurang dua saf. Imam mereka sendiri Ustaz Abd. Kadir, Ustaz Ali dan Maulana Ali mengikuti program Jemaah Tabligh.
Terjawab persoalan-persoalan yang bermain di fikiranku sebelum ini. Telah nyata kampung ini menjadi destinasi bersiri-siri Warga IPGKTB hingga kini adalah hasil penemuan Ustaz Rizal dan Ustaz Zubir secara kebetulan dalam misi Kembara Menjenguk Muslim Cambodia 2010 mereka khasnya sewaktu menjalankan urusan membeli tanah di sana untuk diwakafkan.
Di sini Allah takdirkan kedapatan ruang untuk para penyumbang menabur bakti, wujud sebuah bangunan sekolah yang tidak beroperasi pada hal di sini terdapat ramai kanak-kanak Islam yang perlu diberi pendidikan agama. Sistem persekolahan di Cambodia adalah sama seperti di Malaysia, anak-anak hadir bersekolah di sekolah yang milik kerajaan mereka, cuma di Cambodia tidak ada mata pelajaran pendidikan Islam seperti di Malaysia. Oleh itu, menjadi tanggungjawab ibubapa sendiri mengajar agama kepada anak-anak mereka. Jawatankuasa masjid di kampung ini telah memainkan peranan cuba menjalankan kelas pengajian agama di waktu petang dan malam, namun tidak bersistem. Bangunan ada, tetapi tidak dimanfaatkan atau mungkin tidak mencukupi untuk digunakan ketika itu. Kanak-kanak belajar agama di anjung masjid sebuah bangunan 3 bilik darjah. Di sinilah timbul kesedaran para pengembara berkenaan membawa balik idea untuk berkongsi derita muslim Combodia yang dijenguk selain daripada itu berazam melakukan usaha untuk membangunkan sistem pendidikan agama buat generasi muda kampung.
DIPETIK DARIPADA BUKU SEMARAK VISI UMMAH DI DESA KANH JONG
TULISAN ISMAIL BIN SALLEH 2017
DITERBIT OLEH FIRST GRADE BHD
Comments
Post a Comment